PERGAULAN BEBAS PUNCA KERUNTUHAN AKHLAK PELAJAR IPT/IPTA

Keruntuhan akhlak dan etika remaja pada masa kini seolah-olah satu refleksi sebenar tingkahlaku remaja. Tindak-tanduk mereka yang agak liar dengan gaya hidup yang bebas memberi gambaran seolah-olah wujud satu penentangan untuk mengenepikan nilai dan norma generasi tua. Banyak kejadian dan kes yang berlaku melibatkan remaja dan pelajar IPT/IPTA mendapat liputan meluas daripada pihak media. Kesannya di UMP berbanding universiti-universiti mega yang lain memanglah tidak ketara , namun akhir-akhir ini dilihat gejala ini kian merebak dengan pantas sekali.

Pergaulan di antara lelaki dan perempuan yang tidak terkawal akan mendatangkan banyak kesan buruk kepada masyarakat. Contoh yang jelas dapat dilihat dalam masyarakat barat yang rata-rata mengamalkan pergaulan bebas. Sungguhpun dari aspek kebendaan mereka agak terkehadapan, namun dari aspek kerohanian dan akhlak mereka jauh ketinggalan di belakang. Di Malaysia pengaruh dan cara barat kian mendapat sokongan dimana-mana, industri hiburan bergerak maju dan aktiviti melalaikan manusia kian rancak disana-sini, perkara agama dikesampingkan, nilai budaya yang baik dipinggirkan, lihatlah hasil kemajuan dan kecanggihan dunia pada hari ini. Perlukah pegangan dan nilai norma yang kita semai selama ini disisih begitu sahaja?dimana pendirian kita.

Antara kesan buruk daripada pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan ialah:

1) Keruntuhan akhlak
Salah seorang Presiden Amerika Syarikat pernah mengeluarkan kenyataan akhbar pada tahun 1962 yang menyatakan bahawa para pemuda di negaranya telah rosak, tenggelam dalam kerosakan. Di antara tujuh orang pemuda yang ingin menyertai tentera, terdapat enam orang yang tidak layak disebabkan mereka leka dalam keseronokan seks.

2) Tersebarnya anak luar nikah
Menurut statistik yang telah dibuat di New York pada tahun 1983, lebih daripada satu pertiga bayi yang lahir pada tahun tersebut adalah anak luar nikah. Kebanyakannya dilahirkan oleh pemudi yang berumur sekitar sembilan belas tahun dan ke bawah. Bilangannya secara tepat ialah 112,353 orang bayi iaitu 37% daripada bilangan bayi yang lain di New York.

3) Ramai pemuda pemudi yang tidak berkahwin
Perkara ini berlaku kerana pergaulan yang bebas akan mewujudkan cara mudah untuk melempiaskan nafsu syahwat. Justeru, para pemuda akan memilih cara mudah ini daripada berkahwin. Statistik yang dilakukan di San Francisco menunjukkan bahawa majoriti penduduk di situ terdiri daripada golongan yang tidak berkahwin pada tahun 1982. Ini merupakan kali pertama perkara seumpama ini berlaku di bandar itu.

4) Berlakunya banyak perceraian dan keruntuhan rumahtangga
Sekiranya sebelum proses perkahwinan pun sudah ada pelbagai halangan dan cabaran akibat pergaulan bebas, maka selepas berkahwin pun ia tidak akan kekal lama. Institusi keluarga akan mudah hancur, walaupun hanya disebabkan oleh perkara kecil. Ini dapat dilihat pada pertambahan kes perceraian di Amerika Syarikat dan negara-negara barat lain dari tahun ke tahun.

5) Tersebarnya penyakit-penyakit yang membawa maut
Terdapat pelbagai penyakit yang lahir disebabkan oleh hubungan bebas di antara lelaki dan wanita, tidak kiralah mental mahupun fizikal. Antara penyakit tersebut ialah AIDS. Penyakit ini boleh membawa maut dan ubatnya masih belum ditemui sehingga ke hari ini.

6) Kemerosotan Pelajaran

Bagi pelajar yang kerap bersosial dan sering keluar berpasangan tanpa sebarang ikatan yang sah, mereka ini mudah terjerumus kepada perkara-perkara yang merosakkan akhlak, tingkahlaku ini telah menukarkan tumpuan utama pelajar kepada pelajaran dan lebih leka kepada berseronok-seronok dan menghabiskan masa dengan berpacaran dengan pasangan.


Meskipun kita terpaksa akur dengan dunia yang kian berubah dan bergerak pantas, usahlah mudah dan lalai dengan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebagai pelajar. Berpeganglah kepada ajaran agama yang banyak mendidik dan memberi panduan kepada kita, menyalah ertikan kebebasan dengan mengangap peraturan itu satu kongkongan, pastinya akan mengundang padah yang memberi kesan kepada masyarakat di dalam kampus ini.


Mula-mula duduk rapat,
lepas duduk rapat, kemudian lawan peluk erat-erat,
bila dah peluk erat-erat, akhirnya nafas naik tersekat-sekat,
apabila nafas dah naik tersekat-sekat, usah dipeduli Allah dan malaikat,
bila usah dipeduli Allah dan malaikat, usah dipeduli agama dan adat,
bila tidak dipeduli agama dan adat, yang penting lepas ni apa kita nak buat kita buat,
lepas mereka buat, perut yang kempis jadi bulat,
bila perut dah membulat, maka sudah terlambat.

0 comments:

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP